Buat Sahabatku...

Begitu mudah untuk mencari teman bergembira tetapi terlalu sukar untuk mencari teman berkongsi duka. Seandainya masih ingat bait-bait kata lagu Hijjaz tentang kawan. Dipaparkan di sini satu kisah untuk renungan bersama. Terdapat tiga orang sahabat yang bersama-sama ke mana sahaja ketika dalam pengajian di kampus. Mereka menyertai sebuah persatuan yang sama.

Pada hari terakhir di kampus, masing-masing menyatakan hala tuju hidup selepas ini. Dua daripada mereka telah bersetuju untuk bersama-sama bekerja di Selangor. Namun, sahabat yang seorang lagi telah mengambil keputusan untuk kembali ke negeri sendiri dan bekerja di sana. Kedua-dua sahabat itu kecewa kerana sahabatnya ini ingin meninggalkan mereka dan seolah-olah apa yang dirancang sebelum ini adalah sia-sia.

Tiada siapa menyangka, setahun kemudian sahabat ini kembali berjumpa mereka dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu. Kedua-dua orang sahabat ini malu dengan diri sendiri kerana berprasangka terhadap sahabatnya. Ukhwah mereka kembali bertaut lantaran kemanisan ukhwah yang dikecap. Kerana kasih sayang yang ada dalam diri mereka. Di mana sekali pun kita berada, sahabat tetap diingati dalam doa. Yang paling penting, ikatan yang dibina adalah kerana-Nya.

Dalam konteks kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat.

Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia ini. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.

Teliti kembali, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sahabat sebaik mungkin? Renungi diri, jadilah sahabat yang baik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Jujurlah dalam bersahabat. Sebelum meneruskan persahabatan yang mendalam mohonlah petunjuk Allah agar tidak tersalah pilih. Terimalah sahabat anda sebaiknya dan maafkanlah kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Persahabatan yang dijalin kerana Allah pasti berkekalan. Nilai sebuah persahabatan itu tidak mampu dibeli dengan wang dan harta lantaran harganya yang tidak terungkap.

Ulasan

Tinta Ana berkata…
mencari sahabat unpama mencari mutiara dicelah pepasir=P~

Catatan popular daripada blog ini

SANGAP

Indahnya UPSI, Untungnya IPG

Selingkar Kasih