Beza Kawan dan Sahabat


Orang kata kawan dan sahabat adalah dua perkara yang berbeza. Kawan senang dicari tetapi tidak sahabat. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita suka dan memiliki seberapa ramai kawan yang kita mahu.


Namun sahabat hanyalah untuk orang tertentu sahaja. Sahabat lebih akrab hubungannya. Susah senang segalanya boleh dikongsi bersama. Dan kerana itulah kita sering mendengar kata-kata seperti ini; “waktu kita senang, ramai kawan yang menghampiri, tetapi waktu kita susah ramai kawan yang lari’ dan “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah dicari”.


Persahabatan tidak terjalin secara tiba-tiba tetapi memerlukan proses yang panjang seperti menajamkan besi. Persahabatan diwarnai dengan pelbagai pengalaman suka dan duka, dihibur, disakiti, diperhatikan, dikecewakan, didengar, diabaikan, dibantu, ditolak, namun semua ini bukanlah disengajakan apa lagi untuk menimbulkan kebencian. Kerinduan menjadi sebahagian daripada proses menjalin persahabatan. Semua orang pasti memerlukan sahabat sejati, namun tidak semua orang berjaya mendapatkannya. Ramai juga yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang kecewa kerana dikhianati sahabatnya. Antara perkara yang sering menyebabkan runtuhnya sebuah persahabatan ialah masalah perniagaan (wang), ketidakbukaan, ketidaksetiaan, perubahan perasaan, dan kehilangan kepercayaan. Mempunyai seorang sahabat sejati lebih berharga daripada seribu teman yang mementingkan diri sendiri.


Memang tidak ramai antara kita yang mempunyai sahabat. Yang ramai ialah kawan. Mungkin ada orang menganggap pasangannya adalah juga sahabatnya. Dan tidak kurang juga yang menjadikan kawan sebagai sahabatnya. Yang pasti setiap daripada kita sekurang-kurangnya mempunyai seorang sahabat yang boleh kita berkongsi segala cerita. Dan juga sahabat itu sudah tentu kita percayakannya sepenuh hati. Sebagai seorang sahabat pula selayaknya dia memegang segala amanah, menyimpan segala rahsia sahabat itu tadi.


Kepercayaan antara salah satu perkara penting dalam bersahabat. Hilangnya kepercayaan sahabat kepada kita pasti meruntuhkan tali persahabatan. Sekali kita merosakkan kepercayaan seorang sahabat kepada diri kita sampai bila-bila dia tidak akan mempercayai kita. Lalu seumur hidup kita terpaksa menanggung sakitnya apabila tiada siapa mahu mempercayai kita lagi. Dilabel sebagai ‘tidak amanah’, tidak boleh dipercayai’ amat menyakitkan. Lalu bagaimana selayaknya kita sentiasa dapat menjadi seorang sahabat malah orang yang boleh dipercayai?


1. Peganglah rahsia sahabat anda dengan baik kerana ia melambangkan nilai diri anda sebenarnya.

2. Jangan sekali-kali bercerita hal keburukan orang. Bercerita perihal keburukan orang sebenarnya akan memberi kesan negatif pada diri anda. Orang akan menilai anda daripada sikap anda itu.

3. Peliharalah rahsia orang terutama sekali hal-hal yang melibatkan maruah seseorang. Walau seberat manapun rahsia tersebut simpanlah ia dengan rapi.

4. Bercakaplah yang benar, tidak perlu mereka-reka cerita semata-mata untuk meraih simpati orang. Apabila kebenaran terserlah tentu sekali anda akan dibenci dan tidak dipercayai.

5. Jangan mengumpat di belakang, lebih baik mengata di depan walaupun ia akan menimbulkan pergaduhan. Ini adalah lebih baik daripada bermanis-manis muka di depan tetapi menikam kawan dari belakang.

6. Berlaku baik dengan ikhlas bukannya disebabkan ada ‘agenda’ disebalik kebaikan itu.


Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu.


Sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud; “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R. Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”


Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya ; “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut :


1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.

3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.

6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

13. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SANGAP

Indahnya UPSI, Untungnya IPG

Selingkar Kasih