Siapa Y.A.Bhg Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi



Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31 Oktober 2003.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Tun Abdullah menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964.

Setelah tamat pengajian,Tun Abdullah menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Tun Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Tun Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian yang sama pada tahun 1974.

Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Tun Abdullah mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Tun Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000,Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.

Tun Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Tun Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, Tun Abdullah dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Januari 1999. Seterusnya, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri. Selain itu, Tun Abdullah juga adalah Menteri Pertahanan.

Tun Abdullah telah mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Datin Seri Endon Dato' Mahmood pada tahun 1965. Setelah 40 tahun bersama, Datin Seri Endon telah meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 20 Oktober 2005. Mereka mempunyai 2 orang anak dan 5 orang cucu. Tun Abdullah kemudiannya berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007. Datin Seri Jeanne mempunyai 2 orang anak perempuan.

Sepanjang perkhidmatan Tun Abdullah, beliau telah memperolehi beberapa anugerah dan penghormatan. Antara anugerah dan penghormatan tersebut ialah:
  1. 2008 Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (Sarawak)
  2. 2008 Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati Mahkota Kedah (DMK) (Kedah)
  3. 2007 Darjah Utama Negeri Melaka (Melaka)
  4. 2007 Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (SSSJ) (Perlis)
  5. 2005 Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) (Negeri Sembilan)
  6. 2004 Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) (Selangor)
  7. 2004 Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah (SPSA) (Perak)
  8. 2004 Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan (SPMK) (Kelantan)
  9. 2003 Ph.D (Honoris Cause) Nottingham University (Nottingham University)
  10. 2002 Sri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) (Sabah)
  11. 1995 Distinguished Service Order (Military) (Singapore)
  12. 1994 Bintang Yudha Dharma Utama (Indonesia)
  13. 1993 Anugerah Kepimpinan Sukan Emas SAM (Benson & Hedges)
  14. 1992 Knight Grand Cross 'First Class' of the Most Noble Order of the Crown of Thailand (Thailand)
  15. 1992 Ph.D (Honoris Causa) Sports Science (US Academy of Sports)
  16. 1992 Darjah Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) (Selangor)
  17. 1991 Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) (Sarawak)
  18. 1990 Man of the Year Award, Times Sport, News Straits Times (News Straits Times)
  19. 1989 Special Testimony, United Nations Programme of Youth (United Nations)
  20. 1988 Grand Order of Youth, Democratic People Republic of Korea (Democratic People Republic of Korea)
  21. 1985 Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah (SSAP) (Pahang)
  22. 1983 Seri Indera Mahkota Pahang (Pahang)
  23. 1978 Darjah Sultan Ahmad Shah (DSAP) (Pahang)
  24. 1976 Orang Kaya Indera Shahbandar (Pahang)

Itulah serba sedikit berkenaan YABhg Tun Abdullah bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima. Walaupun banyak kritikan dan dugaan yang menimpa beliau sewaktu memimpin Malaysia, penulis faham bahawa beliau telah berusaha sehabis baik untuk kesejahteraan dan kemajuan Malaysia. Bagi penulis, mereka yang mengkritik dan berusaha menjatuhkan Tun adalah seorang yang hanya pandai menudung jari.

Kita yang tidak duduk di tempat beliau tidak tahu bagaimana sukarnya dan tertekannya memegang jawatan tersebut. Hanya mereka yang memegang dan pernah menjawat jawatan tersebut sahaja yang tahu keadaan dan suasana apabila memegang jawatan tersebut. Kita rakyat nie, yang hanya menjadi ketua keluarga pun sudah sakit kepala menguruskan keluarga inikan pula negara yang berdaulat.

Moralnya di sini, sebelum kita menuding jari dan mengkritik orang lain lihat dulu bagaimana diri kita dan keadaan kita. Buat Tun, jasamu mentadbir negara amat dihargai. Seandainya berlaku ketidak adilan sewaktu pemerintahan Tun, penulis harap Tun dapat bertaubat. Sejahteralah Tun hendaknya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SANGAP

Indahnya UPSI, Untungnya IPG

Selingkar Kasih