Ini Kali Yang Ketiga
Yang indah itu bahasa, Yang manis itu kata, Yang tulus itu hati, Yang mulia itu peribadi. Salam sejahtera dan salam diskusi.
Kalau dulu kosong; sekarang berisi. Kalau dulu tak suka; sekarang suka. Kalau dulu tak tahu; sekarang tahu. Itu merupakan perbandingan antara dulu dengan sekarang. Akan datang belum tahu. Apa yang pasti, ianya akan berulang setiap tahun. Makin lama makin bersejarah. Makin lama makin nostalgia. Siapa sangka aku yang dulu tak suka belajar, banyak main, sekarang berada dalam dunia pengajian tinggi. Berada dalam profesion yang mulia yang tak pernah terlintas dalam fikiran aku yang aku akan jadi begini.
Masih terngiang2 di gegendang telinga aku kata2 azimat yang dulu aku pandang enteng sekarang memberi kesan yang amat mendalam dalam kehidupan aku buat selamanya.
"Malas betul kamu. Keje yang cikgu bagi kamu buat sikit saja. Nanti la, kalau kamu jadi guru nanti, anak murid kamu akan buat kamu macam mana kamu buat kat saya."
Siapa sangka kata2 tu menjadi doa yang dimakbulkan Allah swt. Sesungguhnya doa yang dimakbulkan Allah tanpa hijab adalah doa ibu, ayah, guru, serta orang yang teraniaya.
Dalam minda aku 3 tahun dulu hanya mengatakan; aku akan jadi seorang jurutera. Aku akan jadi jurutera. Aku akan jadi jurutera. Ternyata, kini aku akan menjadi seorang jurutera. Jurutera yang terlalu istimewa dalam dunia ini. Terlalu mulia kedudukan aku 2 tahun akan datang. Aku akan bergelar seorang JURUTERA BANGSA, AGAMA dan NEGARA.
Mampukah aku memikul tanggungjawab dan amanah ini? Membangun dan membina satu bangsa yang bertamadun dan berilmu. Memperkukuh dan perteguhkan struktur keimanan dan ketakwaan insan kepada Pencipta semester. Memperbaiki dan mencipta insan yang ampuh dan berguna kepada negara. Mungkin sebab itulah profesion ini dikatakan pewaris Nabi.
Hari ini, tanggal 16 Julai mengingatkan kembali aku kepada permulaan aku di sini. Mendaftar sebagai penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis untuk tempoh yang terlalu lama. Ketika itu, hanya terbayang mampukan aku mengharungi semua ini selama 5 tahun 6 bulan? Buktinya, hari ini. Hari ini aku masih berpijak di bumi Perlis sebagai seorang penuntut IPG.
Berbaki hanya 2 tahun 3 bulan, aku akan menamatkan pengajian. Sekali lagi aku gelisah. Mampukah aku menjadi jurutera bangsa? Aku akan menghabiskan sisa2 waktu yang ada untuk memantapkan diri sebelum aku melangkah keluar dari IPG ini. Berbekalkan semangat dan doa ibu dan ayah; aku pasti aku mampu melakukannya sehingga ke titisan yang terakhir.
- KATA AKU -
"Bukan kata kau."
"Bukan kata kau."
Ulasan